KUALA LUMPUR: Gesaan golongan tertentu agar orang ramai memboikot produk Coca-Cola akan hanya menjejaskan penduduk tempatan, kata Pengurus Negara Coca-Cola Malaysia, Ahmed Yehia.

Menurutnya, syarikat itu melabur RM1 bilion sejak 2010 dan mewujudkan lebih 800 pekerjaan serta lebih 200,000 pelanggan di seluruh negara.

“Oleh itu, sebarang gesaan untuk memboikot produk Coca-Cola akan menjejaskan pekerja tempatan serta ribuan peruncit, pengedar, pembekal dan mereka yang berkaitan dalam rangkaian pengedaran kami yang bergantung hidup kepada kami sebagai punca pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun Coco-Cola adalah jenama global, tetapi operasi pengeluaran dijalankan pekerja tempatan.

“Ada individu dan kumpulan tertentu yang meminta orang ramai memboikot Coca-Cola berikutan maklumat dan khabar angin yang salah mengenai perniagaan kami yang berlegar di media sosial.”

Beliau berkata, syarikat itu tidak menyokong atau membangkang sebarang perkara berkaitan agama serta tidak memihak negara tertentu.

“Coca-Cola beroperasi di lebih 200 negara dan wilayah dengan masing-masing mengamalkan sistem politik dan agama berbeza.

“Di Malaysia, sejarah kami bermula sejak 81 tahun lalu dan kami akan terus memberi komitmen kukuh untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.”

Sumber : FmT