ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan kesediaan Turki membuka kedutaannya di Baitumaqdis Timur dalam usaha meningkatkan tentangan terhadap pengiktirafan kota itu sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Donald Trump.

Erdogan sebelum ini mengetuai kecaman umat Islam terhadap langkah AS itu dengan mengadakan sidang kemuncak bersama pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) minggu lalu di Istanbul, yang menggesa dunia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin.

Baitulmaqdis Timur dikuasai Israel selepas dirampas dalam perang 1967, tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

“Kerana ia diduduki, kita tidak boleh ke sana dan membuka kedutaan,” kata Erdogan dalam ucapan kepada partinya di kota Karaman.

“Tetapi, Insya Allah hari tersebut hampir tiba dan … kita akan secara rasminya membuka kedutaan kita di sana,” katanya tanpa memberikan tarikh yang tepat.

Turki kini mempunyai konsulat umum di Baitulmadis. Ankara turut mempunyai hubungan diplomatik penuh dengan Israel, dan seperti negara lain, kedutaannya berada di Tel Aviv.

Erdogan yang membantah keputusan Trump termasuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat (AS) ke Baitulmaqdis berkata ia sejajar “logik dan pemahaman zionis dan evangelis.”

Beliau berkata orang Yahudi tidak mempunyai hak untuk “merampas” Baitulmaqdis yang merupakan “ibu negara umat Islam”.

“Sila berhenti di mana anda berada dan jangan cuba melakukan operasi zionis,” katanya. “Jika anda cuba, anda harus membayarnya dengan harga yang mahal.”

Image result for oic palestin

Erdogan memuji hasil sidang OIC pada 13 Disember lalu yang katanya menunjukkan “dunia memilih untuk bersatu”.

Bagaimanapun sekutu AS iaitu Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu hanya menghantar pegawai rendah, bukan pegawainya menghadiri sidang tersebut.

Erdogan memberi amaran kepada umat Islam dalam ucapannya agar menentang “perang saudara” di mana pertempuran antara satu sama lain “hanya membantu negara pengganas seperti Israel”.

Israel bertindak balas dengan kenyataan Erdogan beberapa hari kemudian.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau “tidak terkesan” dengan kenyataan tersebut.

Ketika dihubungi AFP, jurucakap kementerian luar Israel enggan memberi komen mengenai kenyataan terkini Erdogan.

Bantahan berlaku hampir setiap hari di Turki terhadap langkah Trump. Di kebanyakan bandar di tenggara Diyarbakir, Kurdish, beribu-ribu orang mengibar bendera Palestin dan melaungkan slogan seperti “pembunuhan beramai-ramai tidak akan berhenti jika semua umat Islam tidak bersatu.”

Dalam ucapan berasingan, Perdana Menteri Binali Yildirim berkata “mulai sekarang kita mengisytiharkan Timur Baitulmuqaddis yang diduduki sebagai ibu negara Palestin”, sambil menambah Turki ingin melihat penyelesaian untuk Baitulmaqdis yang akan memuaskan hati kedua-dua belah pihak dalam konflik itu.

Jurucakap Erdogan, Ibrahim Kalin – penasihat dasar luar negeri utama presiden – menulis dalam akhbar bahawa langkah Trump mewakili “campuran bertoksin populisme dan unilateralisme”.

Menerusi Daily Sabah pula, beliau menulis salah satu akibat positif ialah isu rakyat Palestin sekali lagi menjadi pusat perdebatan global.

“Momentum baharu ini harus digunakan untuk mencari keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Kalin.

Tahun lepas, Turki dan Israel mengakhiri perselisihan yang dicetuskan Israel pada 2010 yang menyebabkan 10 aktivis Turki mati selain ketegangan diplomatik.

Kedua-dua pihak sejak itu meningkatkan kerjasama, terutamanya melalui pelan saluran paip gas yang diketuai menantu Erdogan dan Menteri Tenaga, Berat Albayrak.

Tetapi Erdogan yang menganggap dirinya sebagai “Wira Palestin” membuat serangan lisan terhadap dasar Israel.

OIC Isytiharkan Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Palestin

ISTANBUL: Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di sini, sebulat suara mengiktiraf Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan menggesa masyarakat dunia untuk mengambil tindakan sama.

Persidangan itu juga mengisytiharkan tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, ‘tidak sah dan terbatal dari segi undang-undang’ dan ‘satu cubaan melemahkan semua usaha damai’ serta menggalakkan ‘ekstremisme dan keganasan’.

Pertubuhan yang dianggotai 57 negara anggota, termasuk Arab Saudi dan Iran, turut menegaskan, semua negara anggota komited kepada ‘satu-satunya penyelesaian komprehensif bagi memastikan keamanan’ di wilayah terbabit.

Deklarasi Istanbul itu juga menegaskan susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, peranan negara kuasa besar berkenaan sebagai penaja perdamaian di Asia Barat tidak lagi sah.

“Deklarasi Sidang Kemuncak OIC memutuskan AS perlu menarik diri daripada memainkan peranan dalam proses damai di Asia Barat,” lapor stesen televisyen Turki, NTV.

Deklarasi itu juga menegaskan langkah Washington menyamai ‘galakan kepada Israel yang meneruskan dasar kolonialisme, pendudukan, aparteid dan pembersihan etnik.’

Sidang kemuncak negara-negara Islam itu dianjurkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan selaku Pengerusi OIC sebagai tindak balas terhadap tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Erdogan melabel Israel sebagai negara penakluk dan pengganas.

“Semua negara yang menghargai undang-undang antarabangsa dan keadilan perlu mengiktiraf Baitulmaqdis yang diduduki Israel sebagai ibu negara Palestin,” katanya menegaskan ‘negara Islam tidak akan melepaskan’ tuntutan itu.

Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam ucapannya pada persidangan sama memberitahu pemimpin negara Islam bahawa Washington tidak lagi boleh menjadi broker damai yang jujur.

“Peranan AS dalam proses politik tidak lagi boleh diterima kerana mereka memihak kepada Israel.

“Ini adalah pendirian kami dan kami berharap anda (negara anggota OIC) menyokong kami (Palestin) dalam perkara ini,” kata Abbas.

Abbas menegaskan: “Tidak mungkin wujud keamanan atau kestabilan di Asia Barat selagi Baitulmaqdis tidak diiktiraf sebagai ibu negara Palestin”.

Sementara itu di Riyadh, Raja Arab Saudi, Raja Salman, berkata Palestin berhak menjadikan Timur Baitulmaqdis yang diduduki Israel sebagai ibu negara mereka, menyokong gesaan dalam sidang kemuncak OIC di Istanbul yang tidak dihadirinya.

“Pentadbiran diraja menggesa satu penyelesaian politik bagi menyelesaikan krisis serantau, terutama berkaitan isu Palestin dan pengembalian hak sah rakyat Palestin termasuk hak mewujudkan negara bebas dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya,” katanya.

Raja Salman berucap di hadapan Majlis Rundingan pentadbiran diraja itu ketika badan pan-Islam dunia mengadakan sidang kemuncak tergempar di Istanbul sebagai tindak balas terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh AS.

Raja Salman memperbaharui kecamannya terhadap keputusan Trump, mengatakan ia ‘mewakili sikap amat berat sebelah terhadap hak penduduk Palestin di Baitulmaqdis yang dijamin oleh resolusi antarabangsa.’

Sumber : FMT & Bharian