SEMUA pasangan pengantin ingin mengabadikan kenangan persandingan mereka sebagai memori terindah. Jadi tidak hairanlah jika ada kejadian yang pelik semasa persandingan seperti yang dilakukan pasangan ini.

Pengantin perempuannya yang juga seorang model telah mengenakan sari yang kainnya sepanjang 3.2 kilometer semasa majlis perkahwinan mereka di Colombo, Sri Lanka.

Khabarnya, itu merupakan sari terpanjang yang pernah dipakai oleh pengantin di Sri Lanka. Dengar-dengarnya majlis perkahwinan yang berlangsung Khamis lalu telah melibatkan ratusan pelajar sekolah kerajaan.

Seramai 250 murid sekolah telah berarak sambil memegang kain sari yang dipakai pengantin perempuan di laluan utama di Kandy untuk menjayakan misi pengantin yang ingin mencipta rekod dunia Guinness yang baharu.

Manakala 100 lagi pelajar sekolah berkenaan telah ditugaskan untuk menjadi flower girl pada majlis itu.

Khabarnya, kesemua murid berkenaan merupakan pelajar dari Sekolah Rendah Alawathugoda. Ketua Menteri Wilayah, Sarath Ekanayake juga memeriahkan acara tersebut sebagai tetamu khas yang dijemput.

Namun, perbuatan pasangan pengantin ini mendapat tentangan daripada Pihak Berkuasa Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan (NCPA). Menurut pengerusinya, Marini de Livera, pasangan ini akan disiasat dan mungkin dikenakan hukuman.

“Kami memandang serius perkara ini dan lebih penting lagi, tidak mahu ia menjadi satu ikutan.

“Perbuatan mereka menggugat hak kanak-kanak. Menghalang kanak-kanak daripada pembelajaran, meletakkan diri mereka dalam bahaya dan menggugat maruah mereka – semua itu perbuatan jenayah.

“Tindakan mengerahkan pelajar untuk majlis seumpama itu ketika waktu sekolah menyalahi undang-undang dan pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun,”katanya dipetik laporan Harian Metro.

Kesatuan guru turut mengecam acara itu selain kempen media sosial diadakan secara besar-besaran memprotes pembabitan pelajar sekolah dalam acara tersebut.

Pengantin berkenaan dilaporkan menaiki sebuah trak untuk ke lokasi perarakan sebelum 250 kanak-kanak itu membantunya memegang kain sari tersebut. –

Sumber: MYNEWSHUB.CC