PBB: Majlis Keselamatan PBB sedang pertimbangkan draf resolusi yang menegaskan sebarang keputusan ke atas status Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan undang-undang dan mesti ditarik balik selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf kota itu sebagai ibu negara Israel.

Teks 1 halaman disediakan Mesir itu, yang diedarkan kepada 15 negara anggota pada Sabtu dan dilihat Reuters, tidak menyebut Amerika Syarikat atau Trump secara khusus. Para diplomat berkata draf itu mempunyai sokongan meluas tetapi mungkin akan diveto Washington.

Majlis akan mengundi seawal minggu depan, kata para diplomat. Suatu resolusi perlukan 9 undi menyokong dan tiada veto daripada Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Rusia atau China untuk diluluskan.

Trump secara tiba-tiba terbalikkan dasar AS yang berdekad bulan ini apabila beliau mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, menyebabkan kemarahan daripada warga Palestin. Trump juga merancang untuk memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Selepas keputusan itu, para menteri luar negeri Arab bersetuju memohon resolusi Majlis Keselamatan PBB. Meskipun draf itu tidak mungkin diterima, ia akan semakin mengasingkan Trump dalam isu Baitulmaqdis.

Misi AS ke PBB belum menjawab permintaan mendapatkan komen berhubung draf itu. Duta AS ke PBB Nikki Haley memuji keputusan Trump sebagai “adil dan perkara yang betul untuk dilakukan”.

Draf Resolusi PBB “mengesahkan sebarang keputusan dan tindakan yang bermaksud akan mengubah karakter, status atau komposisi demografi Kota Suci Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan undang-undang, terbatal dan mesti ditarik balik sebagai mematuhi resolusi-resolusi berkaitan Majlis Keselamatan.”

Ia “menyeru semua negara mengelak daripada menubuhkan misi diplomatik dengan Kota Suci Baitulmaqdis, menurut Resolusi 478 (1980) Majlis Keselamatan.”

Israel menganggap kota itu sebagai ibu negaranya yang kekal dan tidak boleh dipisahkan dan mahu semua kedutaan berada di situ. Palestin mahu sektor timur kota itu, yang ditawan Israel pada 1967 dan diilhakkan tanpa mendapat pengiktirafan dunia, menjadi ibu negara sebuah Palestin merdeka.

Draf resolusi majlis “menuntut semua negara mematuhi resolusi-resolusi Majlis Keselamatan berhubung Kota Suci Baitulmaqdis, dan tidak mengiktiraf sebarang tindakan atau langkah yang berlawanan dengan resolusi-resolusi itu.”

Pada Disember tahun lepas, Majlis Keselamatan PPB menerima resolusi “menggariskan yang ia tidak akan mengiktiraf sebarang perubahan pada sempadan 4 Jun 1967, termasuk berkenaan dengan Baitulmaqdis, selain daripada yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat melalui rundingan.”

Resolusi diluluskan dengan 14 undi menyokong dan 1 berkecuali oleh pentadbiran bekas presiden AS Barack Obama.

Sumber : FMT