Rasanya ramai yang dah tengok bagaimana Khairul Hafiz Jantan menjadi manusia terpantas Asia Tenggara setelah memenangi 100 meter pecut di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Namun antara paling banyak dibualkan netizen selain kemenangan itu, adalah aksi para jurugambar yang terpaksa mengejar kelibat Khairul Hafiz dalam usaha untuk mendapatkan ‘shot’ yang terbaik.

Tumpuan sudah tentu pada ‘abang baju hijau’. Dia kelihatan bersungguh-sungguh berlari mendapatkan Khairul Hafiz. Malah satu ketika aksinya ‘mengalahkan’ atlit tersebut hingga mencuit hati para penonton di stadium, rumah dan para netizen.

Menariknya, ‘abang baju hijau’ itu masih boleh tersengih-sengih setiap kali mengejar kelibat Khairul Hafiz walaupun terpaksa mengusung kamera dan pada masa yang sama memikirkan sudut terbaik untuk merakamkan aksi pelari pecut berkenaan.

Inilah antara cabaran menjadi seorang jurugambar sukan. Nampak macam senang, namun mereka menggalas tanggungjawab yang besar dalam menghasilkan ‘karya seni’ mereka. Apatah lagi bila berhadapan dengan big bos di pejabat yang mendambakan foto yang terbaik untuk disajikan pada pembaca di luar sana.

Sebagai wartawan, aku faham benar ‘beban’ yang ditanggung puluhan jurugambar di stadium malam tadi.

Jurugambar sukan secara zahirnya nampak macam tak ada beza dengan jurugambar-jurugambar lain tetapi hakikatnya mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran tersendiri yang ramai orang di luar sana tak tahu.

cabaran-jurufoto-sukan-3

Dalam acara sukan, si atlit akan bergerak ke sana ke sini. Selain sewaktu beraksi, mereka juga akan ‘ke hulu ke hilir’ kalau menang untuk meraikan kemenangan mereka. Kalau jurugambar tersebut ‘salah teknik’ dalam mengendalikan kamera, gambar yang terhasil akan menjadi kabur dan tidak jelas.

‘Timing’ pun sangat penting. Jurugambar yang berpengalaman selalunya tahu bilakah saat terbaik untuk merakamkan detik-detik terbaik atau detik bersejarah sesuatu acara. Kalau takde atau kurang pengalaman, mereka selalunya akan terlepas aksi-aksi menarik sesuatu perlawanan itu.

Itu belum kira faktor cuaca – panas terik, hujan ribut, angin kencang dan sebagainya. Itu yang aku baca dan apa yang para sahabat jurugambar aku bagitahulah. Aku rasa cabaran tu panjang berjela kalau nak cerita satu persatu di sini.

cabaran-jurufoto-sukan-2

Apapun aku nak bagitahu, tugas jurugambar bukan mudah. Mereka juga bukan warga ‘second class’ dalam dunia media. Malah sekarang ini majoriti jurugambar terutama yang berkhidmat di majalah dan suratkhabar mempunyai ijazah dalam bidang fotografi, bukan jurugambar tangkap muat ok. Malah tak kurang juga yang ada ijazah dalam bidang profesional seperti senibina dan ijazah undang-undang.

Kepada ‘abang baju hijau’ malam tadi, walaupun ada yang ketawa, ada yang tersengih dan ada yang kutuk melihat aksi anda, percayalah, anda telah membuka mata ramai orang mengenai tugas dan pahit getir seorang jurugambar sukan.

Gua salute dengan anak Pak Jantan, tetapi pada masa yang sama gua juga salute dengan lu – lu memang ‘jantan’ habis bro!

Nota: Aku difahamkan ‘abang baju hijau’ itu adalah saudara Iskandar dari agensi berita BERNAMA.

Sumber: The Vocket (Artikel di atas disumbangkan oleh Syahril A. Kadir. Merupakan bekas wartawan jenayah Utusan Malaysia dan penulis buku Konfesi Prebet Adam)