Balu M Marimuthu menggesa siasatan dibuat terhadap anggota polis yang bertanggungjawab menembak mati suaminya pada 24 Mei lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan sebelum ini dilapor berkata Marimuthu yang berusia 41 tahun terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan polis di Air Kuning, Tapah, selepas mereka cuba memberhentikan keretanya yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Bagaimanapun peguam N Surendran, yang mewakili R Vaijenthimala, memberitahu Malaysiakini bahawa laporan bedah siasat bercanggah dengan laporan polis berhubung tembakan berkenaan.

“Apa yang dikatakan Ketua Polis Perak pada masa kejadian itu ialah mangsa (Marimuthu) keluar dari kenderaannya dan menembak polis. Polis membalas tembakan dan membunuhnya dengan dua tembakan di dada,”katanya.

Surendran berkata bedah siasat juga menunjukkan peluru menembusi dada Marimuthu pada sudut di bawah 40 darjah.

“Ia mencadangkan seseorang berdiri di atasnya, bukan di hadapannya. Sudut itu tidak mungkin berlaku dalam kejadian tembak-menembak. Apabila kamu membandingkan laporan polis dan laporan bedah siasat, terdapat percanggahan jelas,” kata Surendran.

Vaijenthimala membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pagi ini, bersama-sama anggota keluarga serta peguamnya, Surendran dan Latheefa Koya.

Wanita itu menuntut keadilan untuk suaminya dan dirinya serta anak perempuan mereka yang berusia sembilan bulan.

“Berdasarkan penemuan bedah siasat, saya minta semua anggota polis yang terbabit dalam kematian suami saya digantung serta-merta, dan siasatan pembunuhan bebas, telus dan profesional dijalankan,” katanya.

Surendran berkata beliau menyedari balu Marimuthu hanya menerima laporan bedah siasat baru-baru ini, walaupun laporan itu telah diberikan kepada pihak polis lebih awal.

“Mereka (polis) sepatutnya melakukan siasatan mereka sendiri, atau beritahu Vaijenthimala mengenai laporan bedah siasat itu, tapi mereka diam saja,” katanya.

Surendran turut menafikan kenyataan Hasnan bahawa Marimuthu adalah ketua kumpulan penjenayah “Geng Pam.” .

“Keluarganya sama sekali menolak tuduhan palsu bahawa Marimuthu adalah ketua Geng Pam atau kumpulan lain,” katanya.

Sumber: malaysiakini