“Fasa ini agak sukar untuk kami lalui, ditambah dengan pelbagai isu tidak benar yang mulai disebarkan. Doa yang terbaik untuk kami dan semoga sidang media minggu hadapan akan menjelaskan segalanya.”

Itu jawapan pelakon popular Izreen Azminda, 32, ketika menjawab mengenai dakwaan berkahwin dengan pemuzik dikenali sebagai Ude yang juga suami kepada dua orang anak.

Tambah Izreen lagi, dia telah mengaturkan sebuah sidang media pada minggu hadapan untuk menjelaskan kedudukan sebenar serta situasi yang berlaku.

“Sejujurnya hal tersebut terlalu sensitif untuk dinyatakan pada umum. Bagaimanapun, sebagai selebriti, saya sedia faham setiap inci gerak geri akan menjadi perhatian. Malah sebagai orang sudah matang dalam industri, saya juga sedia faham kerja pengamal media.

“Namun bila hal ini berlaku di luar pengetahuan, saya jadi kesal dan sedih. Sebab kalau boleh, biarlah situasi ini diperjelaskan terlebih dahulu menerusi sidang media yang akan dibuat,” katanya kepada Media Hiburan.

Dalam pada itu, Izreen turut meluahkan rasa sedih dan kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dengan situasi yang sedang berlaku.

Izreen bakal mengadakan sidang media di Damansara, Selasa depan dan akan hadir bersama individu yang didakwa suaminya.

“Insya-ALLAH kami akan hadir bersama dan apa yang akan dijawab kami nanti, biarlah ia dijelaskan pada waktu itu saja.

“Buat masa sekarang, saya lebih selesa berdiam diri supaya tida menjatuhkan air muka mana-mana pihak. Banyak hati yang perlu dijaga dan kalau boleh, saya harap selepas sidang media itu nanti semuanya akan kembali neutral,” ujarnya.

Saya Baru Tahu Suami Kahwin Pelakon Popular 2 Minggu Lalu – Isteri Pemuzik

Seorang wanita dikenali sebagai Intan mengakui tahu mengenai perkahwinan suaminya dengan seorang pelakon popular dua minggu lalu.

Bagaimanapun menurut Intan, 32, dia reda dengan perkara tersebut dan merestui perkahwinan suaminya dan pelakon tersebut.

“Saya baru tahun ‘benda’ ni, dua minggu lalu. Mula-mula saya dapat tahu…iyalah isteri mana boleh terima apabila dapat tahu ‘macam ni’ (suami berkahwin lagi).

“Tetapi selepas berbincang dengan suami saya terima dan reda dengan takdir. Mungkin sudah jodoh mereka,” jawabnya tenang.

Intan berkata demikian ketika ditemui wartawan Utusan Malaysia, di sebuah restoran di ibu kota.

Ketika ditanya adakah dia menerima pelakon popular tersebut sebagai madunya, Intan berkata, demi sayangnya kepada suami dan keluarga dia rela.

“Pada mulanya saya tidak terima, tetapi bila saya fikir saya sayang family saya, saya sayang suami saya, saya tahu dia macam mana…dia baik.

“Saya percaya suami saya. Saya tak nafikan tanggungjawab dia dan saya rasa dia mampu. Hubungan kami suami isteri tiada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, Intan memberitahu dia turut berlapang dada menerima madunya (pelakon) sebagai kawan.

“Saya reda, tetapi di pihak sana (pelakon) saya tak tahu macam mana. Saya terima demi anak-anak. Saya sayang family saya, saya nak suami saya itu sahaja.

“Saya kenal suami saya, dialah yang terbaik…Tanggungjawab dia terhadap saya dan anak-anak tidak pernah terabai. Saya yakin dia boleh adil,” ujarnya.

Intan dan pemain muzik dikenali sebagai Ude, sudah berkahwin selama empat tahun dan dikurniakan dua orang anak berusia tiga tahun dan 11 bulan.

Ketika ditemuramah, Intan ditemani kakaknya Angah yang turut mengakui sangat menyayangi adik iparnya, Ude.

“Saya sayangkan Ude. Saya mahu Ude kekal sebagai adik ipar saya. Dia seorang yang baik,” katanya dalam nada kesal.

Sumber : AstroGempak