“Mama jangan risau, selepas tahanan papa selesaikan semua (berhenti kerja),” itu luahan terakhir Allahyarham LK 1 PNK Nik Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, kepada isterinya Noor Bazlin Mohammad.

Noor Bazlin, 28, berkata sebelum ini suaminya yang bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di bahagian Paskal mulai 2015 pernah menyatakan mahu berhenti kerja dan merancang untuk menjalankan perniagaan.

Jururawat di Klinik Kesihatan Dato’ Keramat di Kuala Lumpur itu berkata sebelum memasuki bilik tahanan suami menghubunginya  dengan menggunakan telefon pengiring dengan memberitahu dia ditahan atas kesalahan lewat hadir ke tempat kerja buat kali kedua.

Menurutnya dia turut menerima panggilan daripada seorang pegawai TLDM pada malam Rabu yang mengatakan suaminya akan ditahan.

“Selepas mendapat tahu hal itu saya berasa risau dan tidak sampai tiga hari dia ditahan saya mendapat berita pemergiannya,” katanya dengan sebak ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada Sabtu.

Menurut kenyataan TLDM hari ini, Nik Mohd Baihaqy dan LK I TLS Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan semalam.

Menurutnya ketika menjalani latihan tersebut, anggota berkenaan mengadu kepenatan dan direhatkan sebelum mengalami muntah dan sesak nafas sebelum kedua-dua anggota disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada 3.15 petang.

Punca sebenar kematian itu masih dalam siasatan polis dan pihak TLDM akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi mencari punca sebenar kejadian, menurut kenyataan itu.

Ibu kepada tiga orang anak berusia empat ingga 10 bulan itu berkata dia mendapat berita tentang kematian suaminya pada 5.30 petang semalam daripada seorang pegawai TLDM yang menghubunginya.”Saya reda atas kematiannya, namun saya tidak akan berdiam diri jika kejadian itu ada  berlaku unsur jenayah,” katanya sambil menambah suaminya telah berkhidmat dalam TLDM selama sembilan tahun.

Noor Bazlin berkata jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan bersebelahan kubur bapanya yang meninggal dunia dua bulan lalu.-Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri menangis, menyendiri…

IPOH: Nur Liya Asmira, isteri kepada Laskar Kelas 1, Muhammad LailatuIman Mohd Shukri, yang meninggal dunia di Bilik Tahanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Unit Sungai Wangi, Sitiawan, banyak mendiamkan diri sebaik menerima berita kematian suaminya petang semalam.

Abang ipar Muhammad LailatuIman yang enggan dikenali berkata, Nur Liya Asmira hanya berdiam diri dan kerap menangis selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6 petang semalam.

“Nur Liya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur banyak mendiamkan diri sejurus menerima berita itu.

“Dia lebih banyak menyendiri dan tidak selera makan serta kerap menangis sejak semalam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Beliau berkata, Nur Liya tinggal bersama anak perempuan mereka berusia enam bulan di Taman Dato’ Harun, Petaling Jaya.

Katanya, Allahyarham sering pulang pada hujung minggu untuk bertemu isteri dan anaknya.

“Selepas tamat bedah siasat nanti, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman arwah di Kampung Bagus, Rantau Panjang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang,” katanya.

Nur Liya yang hadir di HRPB petang ini enggan bertemu dengan pemberita.

Artikel berkaitan : Isteri ingin kepastian punca kematian

“Saya nak lihat sendiri arwah suami, nak baca laporan bedah siasat. Saya inginkan kepastian punca sebenar kematiannya,” kata Bazlin Mohammad, 28.

Isteri Allahyarham Laskar Kelas I, Mohd Baihaqy Nik Mat, 28, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilapor meninggal dunia selepas menjalani latihan fizikal di Lumut petang semalam, berkata laporan bedah siasat dijangka diperoleh jam 3 petang ini.

Jururawat berkenaan berkata, arwah seorang yang sihat dan tidak menghidapi apa-apa penyakit.

“Sebagai jururawat, saya tahu keadaan kesihatan manusia. Maklumat awal mengenai kematian suami, saya tidak boleh saya terima setakat ini,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Sambil menegaskan tidak berpuas hati dengan laporan awal kematian suaminya, Bazlin berkata, beliau melihat penjelasan itu tidak jelas dan meragukan.

“Ketika pegawai di tempat arwah bekerja memaklumkan suami meninggal dunia ketika dalam tahanan, saya tidak percaya dia boleh mati begitu sahaja.

“Takkanlah suami dan rakannya yang turut dikenakan tindakan tahanan, boleh muntah dan sesak nafas bersama-sama,” katanya yang kini berada di Hospital Ipoh menunggu jenazah suaminya.

Bazlin berkata, kali terakhir dia berhubung dengan suaminya pada Rabu lalu.

“Suami memaklumkan, dia dikenakan tindakan tahanan selepas melanggar peraturan ketika berada di sana, beberapa kali lewat ke tempat kerja. Kali terakhir dia lewat pada Isnin lalu.

KENYATAAN media yang dikeluarkan di laman Twitter TLDM hari ini.

“Dia juga sempat berpesan kepada saya pada malam Ahad untuk mengejutkannya pagi Isnin itu, namun dia terlewat bangun dan masuk kerja lewat.

“Ketika menghubungi saya, dia berpesan supaya saya tidak risau kerana tindakan tahanan adalah perkara biasa,” katanya.

Mohd Baihaqy dan Laskar Kelas I Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, dilaporkan meninggal dunia di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, Perak ketika menjalani latihan fizikal di kem berkenaan.

TLDM menubuhkan lembaga siasatan bagi meneliti prosedur operasi standard (SOP) latihan fizikal dan memaklumkan punca sebenar kematian dua anggotanya itu masih dalam siasatan polis.

Kenyataan itu turut memaklumkan hasil siasatan awal mendapati dua anggota terbabit mengadu penat dan direhatkan sebelum muntah dan sesak nafas dan diberi rawatan awal oleh petugas pusat tahanan.

Ia juga memaklumkan, mereka disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang tiba pada jam 3.15 petang dan hasil pemeriksaan awal doktor tidak menunjukkan sebarang kesan pukulan atau penderaan fizikal.

Sumber : BH