Kes kebakaran yang berlaku di asrama Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah antara kes yang mendapat liputan meluas oleh media tempatan. Lebih menyedihkan apabila kebakaran itu dilakukan oleh sekumpulan remaja yang ingin membalas dendam. Bayangkan bagaimana tergamaknya mereka.

Terbaru, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dedah punca kebakaran berlaku dengan cepat.

Gas cecair dilepaskan daripada silinder gas

Api marak dengan cepat disebabkan gas cecair petroleum (LPG) yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama itu.

Tambahan pula, bahan pencetus kebakaran (fire load) yang banyak di bilik asrama menyebabkan api cepat marak dan meningkatkan lagi bahang api mengakibatkan mangsa yang sedang tidur terkorban dalam masa singkat.

Menerusi Harian Metro, kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol. Kawasan petrol dicurahkan adalah pada rak kasut, tuala dan dinding di hadapan pintu masuk asrama aras tiga bangunan itu.

Tambahan, pihaknya telah menemui dua bahan bukti iaitu dua silinder gas cecair petroleum (LPG) berwarna hijau berbelang merah dijumpai di hadapan pintu masuk bilik asrama. Kedua-dua silinder itu sudah kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka.

Mengandungi cecair mudah menyala

Dalam kes ini empat anjing digunakan dan semuanya menunjukkan ke tempat yang sama. Sampel ini sudah dianalisa oleh pegawai kimia di Makmal Penyiasatan Kebakaran Kuala Lumpur dan didapati empat sampel berkenaan mengandungi residu cecair mudah menyala jenis petrol.

Berdasarkan penemuan itu, punca kebakaran adalah perbuatan sengaja dibakar (Incendiary Fire).

Pihak bomba juga sudah mendapat petunjuk kejadian berkenaan disebabkan oleh perbuatan sengaja dibakar pada 1 tengah hari. Punca kebakaran memang dirancang dengan teliti oleh suspek berdasarkan bahan bukti.

Suspek bakar tahfiz dibawa ke lokasi

Polis membawa seorang daripada tujuh suspek yang dipercayai membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, ke lokasi kejadian, pagi tadi.

Suspek berusia 16 tahun itu dibawa oleh pegawai dan anggota polis dengan menaiki sebuah van ke lokasi kejadian pada jam 11.50 pagi, dipercayai dari lokap Balai Polis Jalan Pantai, di sini.

Dia kemudian dibawa masuk ke dalam pusat tahfiz sebelum menuju ke bahagian belakang untuk menunjukkan kepada pihak polis mengenai situasi yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian 14 September lalu.

Selepas berada di sana selama lebih kurang 10 minit, suspek kemudian dibawa menaiki tangga belakang menuju ke tingkat atas.

Suspek dibawa keluar dari pusat tahfiz itu pada jam 12.54 tengah hari.

 

Pihak polis turut memperketatkan kawalan di kawasan persekitaran bagi mengelakkan wajah suspek dirakam pihak media dan orang awam.

 

Sementara itu, di lokasi sama, Unit Forensik Polis Bukit Aman dan Kuala Lumpur, turut menjalankan tugas dengan merakam gambar dalam dan luar kawasan pusat tahfiz bagi melengkapkan siasatan mereka.

 

Mereka juga turut membawa kamera 3 dimensi (3D) terbaharu, yang digunakan sebagai rujukan secara teknikal untuk siasatan mereka.

 

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai terus membanjiri pekarangan pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung itu bagi menyampaikan sumbangan kepada pengurusan Darul Quran Ittifaqiyah, selain ingin melihat sendiri lokasi kejadian.

 

Sumber: Bharian & HMetro