PETALING JAYA: Ada pihak mempertikaikan keberkesanan program Go To Safety Point (GTSP) yang dijadikan lokasi alternatif untuk orang ramai mendapatkan bantuan ketika berdepan kecemasan, selepas kes bunuh-gilis yang berlaku di sebuah stesen minyak di Johor Bahru, Ahad lalu.

China Press melaporkan netizen mempersoalkan kakitangan stesen minyak itu yang lambat bertindak dan tidak menghulurkan bantuan atau menarik mangsa daripada digilis.

Mangsa berusia 30-an itu mati selepas ditikam dan digilis sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki sekumpulan 4 lelaki kira-kira 7.30 malam Ahad lalu.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata, bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman dan hasil siasatan mendapati kereta BMW 520i yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Shell Malaysia, Datuk Abd Wahid Bidin yang dipetik akhbar itu mengesahkan stesen petrol di Jalan Sri Pelangi itu menyertai program GTSP.

Katanya, di bawah program itu, kakitangan tertentu akan diberikan latihan untuk menghadapi keadaan kecemasan, termasuk menekan butang kecemasan bagi memaklumkan polis yang akan tiba di tempat kejadian dalam tempoh 5 hingga 15 minit.

Beliau mempertahankan kakitangan di stesen minyak itu dengan berkata, petugas ketika itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk menghubungi polis.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa ketika dihubungi China Press berkata, walaupun kakitangan stesen minyak itu pernah diberikan latihan, tetapi mereka perlu mengutamakan keselamatan diri ketika berdepan kecemasan.

Beliau berkata, kakitangan perlu melihat kepada keadaan dan mengambil tindakan sesuai, bukannya bertindak melulu sehingga membahayakan diri dan tidak mampu menyelamatkan mangsa.

Katanya, ketika kejadian, pengurus stesen minyak itu sudah menekan butang kecemasan dan polis tiba di tempat kejadian dalam masa 10 minit, bagaimanapun penjenayah sudah melarikan diri.

Tajudin berkata, kumpulan penjenayah itu juga sangat kejam dan kakitangan stesen minyak berkenaan tidak pernah diajar cara menangani jenayah berbahaya sedemikian.

Katanya, sejak program itu dilaksanakan 4 tahun lalu, polis ada berbincang secara tetap dengan pengendali stesen minyak untuk memfokuskan pengetahuan am pekerja, termasuk segera menghubungi polis, hospital serta Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika jenayah berlaku.

Setakat ini, terdapat 3,016 stesen minyak di seluruh negara menyertai Program GTSP yang dilancarkan pada September 2013 di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Selain dilengkapi sistem asas keselamatan atau butang kecemasan dikenali sebagai I Alert, semua stesen minyak itu sudah menyertai kursus setengah hari yang diberikan polis berhubung cara menangani kecemasan.

Statistik polis menunjukkan 262 aduan kecemasan dikendalikan stesen minyak terbabit, termasuk membantu mangsa jenayah, kemalangan dan 2 kes ibu bersalin sejak ia dilancarkan 4 tahun lalu.