TULAR menerusi laman sosial sebuah video animasi tiga dimensi (3D) menunjukkan ‘gambaran’ tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 Mei lalu.

Video berdurasi kurang daripada empat minit itu telah dimuat naik oleh seorang pengguna dikenali sebagai Muhamad Harris Nasril di halaman Facebook miliknya beberapa hari lepas.

Lelaki berkenaan didakwa sebagai rekonstruksi animasi yang menggambarkan secara jelas dan terperinci bagaimana kejadian tersebut berlaku.

Dia turut menyatakan setiap penjelasan tentang pelan lantai aras asrama dalam animasi itu adalah berdasarkan dapatan maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa.

“Di manakah terletaknya dua tong gas yang dibukakan injapnya? Bagaimana terdapat beberapa pelajar menyelamatkan diri?

“Bagaimana pula 23 yang lain terkorban dan terperangkap? Adakah pihak sekolah mengabaikan aspek keselamatan?” tulisnya menerusi posting berkenaan.

Video yang tular itu, secara tidak langsung telah menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ada menyambut secara baik kerana beranggapan ia sedikit sebanyak membantu beri pemahaman lebih jelas tentang kejadian.

“Bagus ni Harris. Dengan adanya ilustrasi 3D ni, pembaca lebih peka dan faham situasi sebenar yang berlaku,” komen Hisyam Salleh.

“Great job on the reconstruction! Sedikit sebanyak dapat memberikan closure dan pemahaman terhadap apa yang berlaku. Saya betul betul betul betul betul berharap agar tindakan maksimum diambil agar institusi yang lain memandang aspek keselamatan dengan lebih serius,” kata Nurul Adni.

Ada juga yang mengakui video itu mengundang emosi sebak dan berkata seolah-olah dapat merasai sendiri saat genting yang dialami oleh mangsa terbabit.

“Allahu, sedih nya harris, nampak clear picture bagaimana budak-budak (arwah) cuba menyelamatkan diri, grill penuh, keliling dinding… Jatuh air mata,” rintih Zakiah Arifin.

Dalam pada itu, terdapat juga pihak yang mempersoalkan kewajaran analisis berkenaan dibuat.

“Harris Nasril… Aku rasa lebih molek kau pegi interview dulu mangsa yang terselamat tu, dapatkan cerita sebenar semasa kejadian.

“Sebelum kau tularkan analisis macam ini yang lebih kepada andaian membawa kepada persepsi negatif kepada umum.

“Atau bahasa mudah, menghasut dan menfitnah. Ok? Aku nasihat je…sebab kau pun bukan orang yang sepatutnya untuk keluarkan analisis macam ni bagai… you are nobody,” cadang Anuar Ibnu-Manan Ibnu-Abas.

Video yang tular itu sehingga kini dilihat telah mendapat lebih daripada 32,000 tontonan di media sosial.

Insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 orang termasuk dua guru agama merupakan kes kedua terbesar yang pernah berlaku melibatkan sekolah agama.

Sumber– MYNEWSHUB.CC